Jan 11, 2012

Pejuang

buat golongan seperti kami
jika berputus asa itu satu pilihan
telah kami pilih untuk menyerah sahaja

dari awal lagi
dari saat pertama kali udara memenuhi paru-paru kami
kami tahu kami perlu berjuang
seperti pokok-pokok kecil di lantai hutan berjuang untuk mendapatkan sedikit cahaya di balik pohon-pohon gergasi
begitulah juga kami perlu berjuang untuk terus hidup

kami tahu berputus asa hanya akan membuatkan hidup lebih sukar
kadang-kadang kami seperti lalang-lalang ditiup angin ribut
meliang lintuk ke kiri dan kanan
kami mungkin rebah dilanda badai
bila ribut berhenti
kami perlu bangkit kembali

walau ada yang tidak mengerti
mencaci maki dan buat tidak peduli
namun kami harus terus berdiri
kami mungkin jatuh berkali-kali
tapi tidak mengapa kerana kami akan sentiasa bangkit

kami hanya ada satu pilihan
bergerak ke hadapan
masa lalu adalah pengalaman-pengalaman yang mengajar kami bagaimana untuk bangkit dengan lebih cepat
bagaimana untuk berjuang dan bertarung dengan lebih tangkas
menjadikan kami pahlawan yang lebih bijaksana